Wednesday, May 06, 2009

Corat Coret


Setelah sekian lama sesawang ini dibiarkan sepi. Akhirnya tercoret sedikit kalam sebagai pengisi.

Sekapur Sirih Ros

Selaut syukur dan pujian dipanjatkan kehadrat Allah SWT atas segala nikmat kurniaan-Nya. Nikmat islam dan iman yang masih utuh dalam diri. Nikmat kehidupan dunia yang tidak terhitung banyaknya. Berbanding ekspresi syukur yang boleh dihitung kira. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kaum keluarga, dan sahabat-sahabat baginda yang mulia.

Alhamdulillah. 4 tahun aku berkelana di bumi orang. Bumi Al-Azhar, bumi Kinanah, bumi anbiya'i wal fara'inah. Bumi Tanah tumpahnya darah para anbiya' 'alaihimussalam, para aulia' dan solihin. Kiblat ilmu kepada pencinta-pencinta ilmu Allah SWT. Melahirkan para ulama' muktabar, para mujtahidin dan mujahidin, menjadi sang murabbi dan qudwah kepada umat manusia. Bermujahadah dalam memastikan Islam diletakkan ditempat yang tertinggi. Disini jugalah terakamnya peristiwa hitam, kederhakaan Fir'aun laknatullahi 'alaih yang menjadi ajen penyesatan terhadap umat suatu ketika. Mendustakan risalah kenabian dan tauhid. Ya! Di bumi inilah aku berpijak selama sekian lama. Duduk mencari birai2 mutiara.

Setengah dekad ini mematangkan aku. Bergaul dengan ilmuan, para otai yang berilmu dan berpengalaman. Berintima' dengan persatuan. Balajar pentadbiran. Belajar kemahiran. Bermasyarakat dengan berbagai bangsa. Berkomunikasi dengan manusia. Terasa cepat masa itu berlalu. Meskipun begitu terlalu kerdil aku dihitung dengan waktu. Teman2 sudah ke puncak gunung aku masih mendaki bukit. Segala puji bagi Allah yang masih memberi aku kekuatan untuk terus berdiri. Memberi maksud tujuanku masih lagi belum lestari.

Intima'

Hampir 3 tahun aku berada dalam dunia kepimpinan. Memimpin sekelompok kecil masyarakat mahasiswa Islam diperantauan. Harungi suka duka jerih payah. Demi satu wadah dan perjuangan. Ya! demi wadah dan perjuangan. Bukanlah aku yang terbaik dikalangan kamu. Tetapi amanah qiadah ini perlukan kesinambungan dan berterusan. Demi memastikan dasar: Al-Qur'an dan sunnah dapat dilaksanakan.

Berkata Saidina Abu Bakar As-Siddiq setelah dilantik menjadi Khalifah yang pertama: "Wahai manusia! Sesungguhnya aku telah dipilih menjadi ketua kamu dan bukanlah aku orang yang paling baik di kalangan kamu, jika aku baik maka bantulah aku, jika aku tersilap maka perbetulkanlah aku". Begitu juga dengan ucapan Saidina Omar bin al-Khattab, Khalifah yang kedua: "Siapa yang melihat berlakunya kepadaku penyelewengan maka perbetulkanlah aku."

Firman Allah SWT:

"Tidaklah sama antara mukmin yang duduk [ Qaai'dun ] (yang tidak ikut berjuang) tanpa mempunyai ke'uzuran dengan orang-orang yang berjihad [ mujaahidun ] di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk [ qaai'dun ] satu derajat. Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (surga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk dengan pahala yang besar ".

Sahabat2 yang aku kasihi,

Kepimpinan ini adalah amanah. Bahkan akan dipersoal oleh Allah di akhirat kelak. Bukanlah sengaja aku pikulkan di pundakku. Tiada hadaf maddiyyah atau kepentingan peribadi. Hanya kesedaran dari dalam diri. Itupun ini masih ada yang meragui?

Nyatanya kita semua adalah khalifah. Kau dan aku adalah khalifah. Telah Allah rakamkan watikah itu dalam muhkami tanzil-Nya: "Ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: Sesungguhnya aku akan jadikan di muka bumi seorang khalifah". Mentadbir alam dengan akta rabbaniyyah yang disampaikan melalui junjungan mulia Muhammad SAW.

Malanglah kalau kamu tidak bersama aku. Bersama membentuk khilafah yang terasnya taqwa kepada Allah. Menjadi mata rantai yang menentukan jatuh bangun perjuangan li i'laai kalimatillah. Hei… kita bukan awalan atau akhiran lah. Apa kau tunggu lagi? Bertatihlah! kelak kau berlari. Jangan kau tersungkur sebelum berdiri.

Hehe… Bermadah aku harini. Biasalah sudah lama menyepi diri. Pedulilah ape korang nak kata. Janji aku happy.


Tahun ini terasa ujian dan cabaran bagai bah melanda. Jauh aku terpukul dek kerenah manusiawi. Tidak! Itu mehnah.

Mungkin juga kaffarah buat diri. Yang pasti ujian ini membekas dan mematangkan. Sahabat… kau bantu.aku ya! Tanpamu aku tiada erti. Cheewah!… bermadah lagi.

Memang terasa berat beban ini kalau dipikul sendiri. Aku tidak sendiri. Aku kuat kerana aku bekerja dalam satu jamaah. Ya! Kerna jamaah. Kau dan aku satu jamaah. Aku imam dan kau makmum. Atau kau imam dan aku makmum. Tidak begitu? Kita satu!

Sahabat… Anggaplah persatuan ini satu wadah, satu daulah, satu mini khilafah islamiyyah. Bahkan lebih kecil. Yang perlu untuk sama-sama kita tadbir dan berikan intima'. Agar akhirnya kita keluar dengan bekalan menuju ke medan sebenar perjuangan. Yang pastinya menjanjikan 1001 mehnah dan cabaran. Disinilah medan tarbiah kita.

Doa buat ibu

Ibu saat ini menanti kepulangan aku. Melepaskan beban rindu tatkala membisikkan sendu dan tawa. Merentasi setelit dua benua. Hanya bait2 ini mampu aku nukilkan untuk melagukan gelora dijiwa…

Disaat kita berjauhan

Rasa ingin ku berlari

Mendakapimu penuh girang

Bak si kecik kehilangan

.

kau insan penyayang

betapa ku merindu

Lembutnya belaian ibu

Membuat ku terlena

…Kalaulah ada bas tambang dari cairo ke JB. Ya Rabbi… hanya kau sahaja mengerti.

Berita ibu sakit menyakitkan. Tatkala disibukkan dengan taklifan. Tatkala hampir dengan imtihan. Bagaimana harus aku hadapi. Hanya mampu aku menadah tangan Mudah-mudahan Allah SWT sihatkan tubuh badannya dan panjangkan usianya. Agar mudah dia tunaikan ibadah dan kewajipan. Kepada Allah sahajalah tempat aku bermohon dan kepada-Nya lah aku berserah diri. Firman Allah SWT: "…Berdoalah kepada-Ku nescaya akan Aku perkenankan bagimu." (Al-Mukmin: 60). Amin

Kahwin

Firman Allah SWT: "…dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan bagimu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan diantara kamu perasaan kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir" (Ar-Rum: 21).

Aku kahwin? Jangan salah mengerti. Tajuk ini ditujukan khas buat kembarku yang dirindui. Dah gatal nak kahwin yer? Almaklumlah dah ada yang mencuri hati. Baguslah!.lestarikan fitrah insani melalui jalan yang syar'ie. Moga Allah permudahkan segala urusanmu dan jauhi dirimu dari kesulitan. Moga2 mahligai yang bakal dibina terpelihara dibawah naungan rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Melahirkan generasi yang bakal menjadi tonggak perjuangan kearah memartabatkan Agama Allah SWT kelak. InsyaAllah.

Tinggallah nanti adindamu ini sendiri bila kau sudah berteman sejati. InsyaAllah aku berjumpa jua suatu ketika. Nantikan ya.

Sekian sahajalah coretan kali ini. Moga yang sedikit ini memberi manfaat buat semua. Doakan aku dan semua sahabat2 kita yang menuntut di bumi Mesir ya! Agar mudah menghadapi imtihan, dikurniakan Allah kejayaan dan kecemerlangan. Moga2 usaha dan tawakkal kami ini berbuahkan segugus manisan. Amin.

No comments: