Monday, May 25, 2009

Berseorangan Atau Berorganisasi?

Ulama' Islam telah bersepakat bahawa tugas melaksanakan dakwah adalah diwajibkan ke atas setiap individu mukallaf yang beriman, termasuk wanita, hamba sahaya, dan orang-orang yang fasiq. Ketetapan ini berdasarkan beberapa dalil yang sahih.
.
Sabda Rasulullah s.a.w: " Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya. Jika tidak mampu maka hendaklah dicegah dengan lisannya. Jika tidak mampu maka hendaklah dicegah dengan hatinya. Dan mencegah dengan hati itu adalah selemah-lemah tingkatan iman." (Riwayat Muslim).

Kalimah 'man'' atau barangsiapa pada permulaan hadis ini adalah lafaz umum yang ditujukan kepada setiap individu. Didalam kitab Dalilul Falihin disebutkan: Kewajipan berdakwah dibebankan ke atas semua mukallaf yang mampu daripada kalangan muslimin. Secara dasarnya, tanggungjawab ini ditujukan kepada ummah keseluruhannya. Jika ramai yang melihat suatu kemungkaran, hukum mencegahnya adalah fardhu kifayah. Jika tidak, hukumnya adalah fardhu ain.

Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya Usul Ad-Dakwah menyatakan: Hukum berdakwah pada jalan Allah adalah wajib ke atas setiap muslim dan muslimah. kadangkala ia dilakukan secara perseorangan dan kadangkala dilaksanakan oleh organisasi tertentu.

Sebaik-baiknya, aktiviti dakwah hendaklah dilaksanakan dalam bentuk jamaah atau berorganisasi supaya lebih tersusun dan berkesan.
.
Firman Allah AWT: " Dan hendaklah kamu saling tolong menolong dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu saling tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan." (Al-Maidah: 2).

Iktibar yang paling penting di dalam ayat ini adalah semua aktiviti "kebaikan dan taqwa" mestilah dilakukan secara tolong menolong. Tolong menolong biasanya melibatkan ramai orang dan aktiviti yang melibatkan ramai orang memerlukan sistem yang mantap dan sistem yang mantap hanya dapat diwujudkan melalui organisasi yang bersistem. Justeru Dr. Abdul Karim Zaidan merumuskan dalam kitabnya, Usul Ad-Dakwah : Ayat ini adalah dalil berhubung dengan kewajipan mewujudkan organisasi atau jamaah. Malah wajib dilaksanakan dakwah melalui organisasi apabila hasil tidak tercapai melainkan dengannya. Salah satu kaedah usul feqh menyebut: Suatu perkara yang tidak sempurna perkara yang wajib kecuali dengannya (dengan melaksanakan perkara tersebut), maka perkara itu juga adalah wajib.

Firman Allah SWT: " Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di atas jalan-Nya berjuang di dalam satu saff (barisan), seolah-olah mereka itu sebuah binaan yang amat kukuh." (As-Soff: 4).

As Syahid Syed Qutub dalam kitabnya, Fi Zilalil Qur'an menyebutkan: Yang dituntut bukanlah semata-mata berjuang tetapi berjuang di atas landasannya dan berjuang dalam saff bersama-sama dengan jemaah Islam.
.
Sabda Rasulullah s.a.w: " Akan wujud penyeru-penyeru di pintu neraka jahannam. Barangsiapa menyambut seruan mereka, dia akan dilemparkan ke dalam neraka." Huzaifah bertanya: Apakah yang patut aku lakukan jika aku berdepan dengan suasana itu?. Jawab Rasulullah: " Berpeganglah dengan jamaah Islam dan pemimpin mereka". Hadis ini jelas menceritakan mehnah dan suasana akhir zaman dan kepentingan beriltizam dengan organisasi atau jamaah Islam.

Berhubung hadis di atas, Sheikh Said Hawa didalam kitabnya, Madkhal Ila Dakwah al-Ikhwan al-Muslimin berkata: Zaman kita kini adalah zaman lahirnya penyeru-penyeru di pintu neraka. Hadis ini menuntut kita beriltizam dengan jemaah Islam adn pimpinannya.

Nah! apakah ada lagi keraguan bahawa tanggungjawab dakwah ini mestilah dilaksanakan bersama-sama organisasi atau jemaah Islam. Kita bukanlah seperti Altromen atau Batman yang boleh bersendiri dalam menjalankan misi menyelamatkan manusia. Kita adalah khalifah yang diutuskan Allah untuk mentadbir urusan atas muka bumi ini. Dan tanggungjawab ini adalah tanggungjawab kita semua.

Ada individu yang memberikan alasan berdakwah dalam organisasi atau jamaah menyekat kebebasan mereka. Membina keterbatasan peluang ruang. Terikat dengan manhaj dan taklifan. Maka mengambil jalan mudah bersendiri dan meninggalkan organisasi. Saya boleh katakan pandangan ini 100% silap. Dakwah rasulullah s.a.w menyaksikan bahawa baginda tidak bersendiri. Bahkan baginda menyeru ke arah kesatuan dan konsep amal berjemaah. Misi dakwah baginda berjaya dan telah berkembang ke seluruh pelosok dunia. Menyelamatkan manusia dari kegelapan kepada cahaya. Percayalah! bahawa kambing yang bersendirian itu lebih mudah diterkam oleh serigala berbanding yang berada didalam kumpulannya.

Fikir-fikirkanlah dan selamat beramal! =)

Monday, May 18, 2009

Nantikan: Ketika Cinta Bertasbih

Jodoh itu ditangan Tuhan, namun manusia wajib berusaha dan berdoa. Itulah pesan yang ingin disampaikan Sutradara Chairul Umam. Dengan mengadaptasi sebuah novel best seller karya penulis besar Habiburrahman El Shirazy, ia berjaya mempersembahkan kepada penonton sebuah filem yang cukup mengagumkan dari pemandangan Mesir dengan Pyramid, Sphinx, Sungai Nil, Kota Alexandria, Banteng Qait Bay, dan juga indahnya laut Mediterania.

Semua itu ia rangkumkan dalam filem terbarunya, KETIKA CINTA BERTASBIH. Dalam film ini, Chaerul seakan-akan mengajak penonton menyelami dunia seorang mahasiswa Indonesia yang sedang menuntut ilmu di Mesir. Kebimbangan melanda diri Azzam, karena didalam ajaran Islam tidak mengenal istilah berpacaran atau bercinta (sebelum kahwin), yang ada hanyalah “ta’aruf”. Dan selama menuntut ilmu di Universiti Al-Azhar, Cairo, Azzam juga harus bekerja keras menyara ibu beserta adik-adiknya di kampung. Berhasilkah Azzam menemukan jodoh melalui jalan yang ditetapkan ajaran agamanya tersebut? Nantikan......

Saturday, May 16, 2009

Selamat Hari Guru!

Selamat Hari Guru!=) Dedikasi khusus buat ibuku merangkap guruku yang tercinta; Hajah Manasi Bte Sukiman. Buat guru-guru yang pernah mendidik aku secara langsung atau tidak langsung. Guru-guru Pasti Al-Fikrah, Sekolah Rendah Islam (SRI) Ar-Rasyidin, Al-Imam (International) Institute Kota Bharu, Ma'ahad Tahfiz Pasir Gudang, SMA Kota Tinggi, Maahad Pontian, Maahad Johor, UKM, dan Universiti Al-Azhar. Juga buat semua insan yang bergelar guru. Moga2 segala pengorbanan dan ilmu yang telah kalian curahkan mengalir terus dan terus sebagai satu sumbangan dan amal jariah yang tiada kan putus.

Sabda Rasulullah s.a.w: " Apabila mati seorang anak Adam itu, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu: 1) Sedekah jariah. 2) Ilmu yang bermanfaat. 3) Doa anak yang soleh." (H.R Muslim).

Dan Sabda Baginda lagi: " Sebaik-baik dikalangan kamu ialah orang yang mempelajari al-Qur'an dan mengajarkannya."

Jelas betapa besarnya sumbangan dan pengorbanan seorang guru mengasuh dan mendidik anak bangsa. Insan mulia ini mengasuh kita agar menjadi insan berguna di dunia dan akhirat. Tanpa guru Islam tidak mungkin sampai dengan sempurna kepada kita. Rasulullah sendiri merupakan model guru yang paling agung buat umat manusia. Mengajarkan kepada kita risalah tuhan dan menjadi rahmat kepada seluruh alam. Selawat dan salam buat Rasul junjungan.
Salam cinta dan rinduku buat guru-guru. Selamat Hari Guru! (16 Mei 2009)



Thursday, May 14, 2009

Bangunlah Wahai Da'ie!

.
" Sesungguhnya dakwah kepada Allah SWT ialah menghidupkan 'Ad-Deen'. Sesungguhnya tidak akan tertegak ad-deen daripada agama-agama yang lain, tidak akan berkembang sesuatu mazhab daripada mazhab-mazhab yang lain, dan tidak akan meluas sesuatu benua daripada benua-benua lain melainkan dengan cara berdakwah. "
.
Kalam - Sheikh Ali Mahfuz Rahimahullah

Wednesday, May 13, 2009

Malng Teramat Malang!

Alhamdulillah, petang tadi dengan selamatnya aku telah menjalani imtihan syafawi (ujian lisan) bagi 3 subjek; Feqh Syafi'e, Usul Feqh, dan Feqh Muqaran. Kini penumpuan perlu diberikan khusus kepada persediaan ujian bertulis 20 hingga 31 Mei ni. Jangan lupa untuk terus mendoakan aku agar mudah menjalani peperiksaan dan diberi oleh Allah taufiq dan kejayaan. Syukran=)
.
Tadi di Masji Al-Azhar berlaku satu kejadian yang benar-benar memberi kesan kepada aku. Malang teramat malang. Suka aku kongsikan kepada semua agar ia menjadi pengajaran dan peringatan yang berguna buat kita.
.
Sementara menunggu azan zohor berkumandang, aku duduk di salah satu tiang di Masjid Al-Azhar. Mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi syafawi seusai zohor nanti. Selang beberapa meter daripada aku seorang pelajar Somalia sedang berbual dengan 2 pelancong asing. Dari gayanya seperti sedang menerangkan sesuatu sambil tangannya mengajukan naskhah qur'an dan sebuah buku.
.
Aku bangun untuk menunaikan solat sunat. Sedang aku bersolat kedengaran suara pelajar somalia tadi memanggil rakan senegaranya.
"Wahai saudaraku! kau pandai berbahasa inggeris? Bantu aku... orang ini mahu tahu sesuatu tentang agama kita." Panggilannya tidak disahut. Mungkin rakannya menggeleng kepala.
.
"Sesiapa di sini boleh berbahasa inggeris??" Suaranya dikeraskan.
Sekelilingnya kelompok2 pelajar sedang mengulangkaji pelajaran. Sebahagian besarnya adalah pelajar wafidin dari Malaysia dan Indonesia. Maklumlah... hari peperiksaan, semestinya ramai. Malangnya panggilan itu juga tidak disahut. Sehingga dia mengulang 3 kali.
.
Selesai solat aku perhatikan padanya dan kelihatan seorang sahabat dari terengganu tampil membantu. Sebentar sahaja dan pelancong asing itu pergi dengan beberapa hasil catitan.
.
Ah! malang sekali... Dalam ramai2 pelajar Al-Azhar di situ tiada yang tahu berbahasa Inggeris rupanya. Lebih malang lagi dikalangan pelajar wafidin (pelajar selain bangsa Mesir) yang dikenali masyarakat Al-Azhar sebagai sifu dalam subjek Engish. Sehinggakan subjek itu dikecualikan khusus bagi pelajar wafidin (kuliah usuluddin shj). Aku juga tidak mampu bertutur dalam bahasa inggeris. Mengaku fasih berbahasa arab juga tersipu-sipu.
.
Bekas Mufti Johor; Sahibus Samahah Noh B. Gadot pernah berpesan kepada kami ketika kedatangannya ke Mesir bersama rombongan Majlis Agama Islam Johor tahun lepas.
" Saya tidak redha kamu semua pulang ke Malaysia selagi kamu belum mahir berbahasa arab dan bahasa inggeris. Saya sudah melaluinya dan saya tidak mahu ia berlaku kepada kamu. "
Aku telah tanamkan tekad azam pada hari ini untuk aku kuasai dua bahasa ini disamping ilmu-ilmu lain sebelum menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar. Tidak kiralah jua apa caranya akan aku tunaikan. InsyaAllah.
.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------
.
Tanggungjawab Dakwah

Benarlah tanggungjawab dakwah ini sangat besar dan persediaan kearahnya juga perlu besar. Para da'ie perlu gigih mempersiapkan diri dengan kemahiran sebagai du'at. Perlu hadam metodologi dakwah dan waqi' semasa. Perlu merasa terbeban dan berkongsi tanggungjawab dakwah. Perlu intima' dengan jamaah Islam. Para da'ie tidak boleh lagi merasa selesa dan cukup dengan ilmu dan kemahiran yang ada menghadapi cabaran dakwah masa kini.
.
Firman Allah SWT: " Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik" (An-Nahl: 125).
.
Suasana pada hari ini memerlukan dakwah yang berkesan. Masyarakat Islam telah dirantai dengan belenggu jahiliyyah di segenap sudut. Krisis iman, murtad, keruntuhan akhlak, pergaulan diluar batas syarak, hedonisma, gangsterisma, dan banyak lagi. Dan dakwah ini juga perlu dikembangkan kepada non-muslim yang perlu kepada metod dan kemahiran yang berganda.
.
Ayuh sahabat2 para du'at. Kita gembleng tenaga dan keilmuan kita demi memastikan keindahan dan kesyumulan Islam itu sampai kedalam diri manusia. La takhaf wala tahzan innallaha ma'ana.

.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------



Tuesday, May 12, 2009

Mesti Tonton: Sang Murobbi & Laskar Pelangi

Saya terasa rugi kalau 2 filem yang bagus ini tidak dikongsikan bersama sahabat2. Maka lebih rugi lagi sekiranya sahabat2 sendiri tidak berusaha untuk menonton filem ini. Trailer Movie di bawah hanyalah pengenalan atau sedutan ringkas. Semoga sama2 beroleh manfaat.
.
----------------------------------------------------------
.
Trailer Movie: Sang Murobbi. (K.H Rahmat Abdullah)
.
Kisah hidup seorang pendakwah, aktivis masyarakat, dan penggerak kepada Partai Keadilan Sejahtera di Indonesia, K.H Rahmat Abdullah. Seorang murabbi yang bukan sahaja menunjukkan tauladan kepada masyarakat bahkan kepada keluarganya sendiri. Sangat bagus ditonton sebagai membangkitkan semangat juang dan membina diri sebagai murabbi mukhlis.



.
----------------------------------------------------------
.
Trailer Movie: Laskar Pelangi

Kisah pengorbanan 2 orang guru yang mempertahankan SD Muhammadiah (sekolah rendah agama di Indonesia) dan pelajar2 miskin yang mempunyai semangat kental dan luar biasa dalam mengejar cita-cita. Filem yang diadaptasi daripada novel Laskar Pelangi karangan Andrea Hirata ini mengajar kita agar menghargai apa yang kita ada dan belajar untuk tidak mudah patah dengan ujian. . Klik sini untuk ulasan pilihan.Link


Antara Dialog yang menyentuh jiwa:

.
Kal : Sekolah apa ini, tak ada guru-guru dan murid-murid.

Lintang : Kal, ayah aku ada empat orang anak. Tiga perempuan, seorang lelaki. Harusnya aku diajak jadi nelayan. Dan bisa dapat ikan lebih banyak. Tapi, aku dihantar ke sini. (SD Muhammadiyah). Dia ingin aku mengejar cita-cita di sini. Kita semua harus punyai cita-cita. Dan di sekolah inilah perjalanan itu kita mulai. Kita harus terus sekolah.

Selamat Menonton!! ;-)

Semua Jadi Satu

Takut, sedih, suka, gugup, ghairah, risau, lemas, lesu. Begitulah rasanya menjelang musim peperiksaan. Semua jadi satu. Ini bukanlah lagu 3 Diva atau perbahasan ilmu tauhid. Tapi gambaran perasaan yang berkecamuk dalam diri. Bermula dengan imtihan syafawi (ujian lisan) pada hari esok 13 Mei 2009 [ tarikh rusuhan kaum 1969 ], kemudian diikuti dengan imithan tahriri (ujian bertulis) pada 20 hingga 31 Mei 2009. Berikut jadual peperiksaan saya semestar ni:
.

TARIKH

HARI

SUBJEK

13 MEI 2009

RABU

SYAFAWI:

1. FEQH SYAFI’E

2. USUL FEQH

3. FEQH MUQARAN

20 MEI 2009

RABU

USUL FEQH

23 MEI 2009

SABTU

FEQH MUQARAN

27 MEI 2009

RABU

BAHAS FEQH

31 MEI 2009

AHAD

FEQH SYAFI’E


.
و بالله ولي التوفـيق والنحـاح
.

Monday, May 11, 2009

Alhamdulillah...

.
بسـم الله الحمن الرحيم
.
إذا جـاء نصـر الله والـفتح * ورأيت النـاس يدخلون في دين الله أفـواجا*ا

فسـبح بحمد ربك واستـغـفـره إنه كان تـوابا
.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan * Dan kamu melihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong * Maka bertasbihlah kamu dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat.
.
(An-Nasr: 1 - 3)

Mohamad Nizar Menteri Besar Yang Sah


KUALA LUMPUR 11 Mei – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.
.
Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN.
.
Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Nizar, lapor Bernama.
.
"Bagaimana seseorang boleh mengatakan yang pemohon (Nizar) telah hilang kepercayaan majoriti mengikut Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak?"
.
"Berdasarkan amalan demokrasi, isu kehilangan kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Nizar), hanya melalui cara ini menteri besar boleh disingkirkan," Abdul Aziz dipetik berkata dalam penghakiman bertulis yang disampaikannya pada 2.30 petang.

Pada 13 Februari lalu, Nizar memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi diisytiharkan bahawa beliau pada sepanjang masa adalah menteri besar Perak yang sah, bukannya Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Nizar, yang dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas, juga memohon pengisytiharan bahawa Zambry tidak berhak untuk memegang jawatan tersebut.

Abdul Aziz, dalam penghakimannya berkata seorang menteri besar tidak boleh dipecat oleh Sultan Perak atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan sultan.

Pemecatan menteri besar oleh Sultan Perak tidak disokong oleh Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, katanya.

Hakim berkata walaupun Sultan Perak mempunyai kuasa mutlak melantik menteri besar, bagaimanapun seseorang menteri besar, sebaik dilantik, hanya bertanggungjawab kepada ADUN dan tidak kepada pihak-pihak lain, lapor agensi berita itu lagi.
.
Dalam penghakimannya juga, Abdul Aziz - hakim ketiga di Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu - tidak bersetuju dengan hujahan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, selaku pencelah, bahawa hanya dalam dua keadaan yang membolehkan menteri besar boleh memohon bagi pembubaran DUN.

"Peguam negara berhujah bahawa menteri besar hanya boleh memohon bagi pembubaran apabila tempoh penggal dewan telah hampir tamat, iaitu di bawah Perkara 36(2) dan satu lagi apabila beliau berhenti mendapat kuasa daripada majoriti.

"Saya tidak bersetuju dengan perkara ini. Mengikut Perkara 36 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, tiada keadaan yang terhad bagi menteri besar untuk memohon pembubaran daripada sultan, dan terserah kepada menteri besar untuk memilih masanya (untuk memohon bagi pembubaran)," kata Abdul Aziz seperti dilaporkan.

Hakim juga tidak bersetuju dengan hujahan peguam negara dan Zambry sebelum ini bahawa Nizar dianggap telah meletakkan jawatan sebagai menteri besar walaupun beliau (Nizar) enggan berbuat demikian.

"Peguam negara dan responden berhujah bahawa perkataan 'akan meletak jawatan' dalam Perkara 16(6) berupa mandatori bahawa menteri besar mesti meletak jawatan.

"Bagaimana jika menteri besar enggan meletakkan jawatan? Walaupun ia mandatori, peruntukan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai bermaksud bahawa menteri besar dianggap telah meletakkan jawatan," kata Abdul Aziz, yang mencadangkan perkara itu dipinda bagi mengatasi kelemahan dalam Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Mengenai isu afidavit penasihat undang-undang Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, Abdul Aziz memutuskan beliau bukan saksi yang berkecuali dan adil.

"Ia merupakan pengakuannya sendiri bahawa beliau telah diarahkan oleh peguam responden untuk mengikrarkan afidavit itu. Perkataan yang digunakan amat keras.

"Bagi saya beliau bukan saksi yang berkecuali dan adil, keterangannya diwarnai dengan arahan yang diterimanya," kata Abdul Aziz yang memilih versi Nizar mengenai apa yang berlaku semasa menghadap Sultan Perak di Istana Kinta pada 4 Feb.

Hakim berkata beliau percaya dengan keterangan Nizar yang beliau tidak memohon perkenan Tuanku Sultan untuk membubarkan DUN kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti.

"Keadaan pada 4 Feb ialah Pakatan Rakyat dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi dalam Dewan.

"Keterangan pemohon bahawa semasa menghadap Sultan Azlan Shah, beliau telah memohon perkenan bagi membubarkan dewan mengikut Perkara 36(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak adalah disebabkan wujud kebuntuan dalam dewan (apabila Pakatan Rakyat dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi), tetapi menafikan beliau telah kehilangan kepercayaan majoriti anggota dewan," katanya.

Krisis politik Perak bermula apabila dua ADUN PKR Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) meletakan jawatan masing-masing pada 30 Jan diikuti Hee Yit Foong (Jelapang) dari DAP, empat hari kemudian.

Berikutan itu, Nizar telah menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb untuk memohon bagi pembubaran DUN tetapi permohonan itu ditolak.

Sumber : Malaysiakini

Sunday, May 10, 2009

:: Selamat Hari Ibu ::

..:: Bonda & Nenda ::..
BUATMU IBU

Ibu bergenang air mataku
Terbayang wajahmu yang redup sayu
Kudusnya kasih yang engkau hamparkan
Bagaikan laut yang tak bertepian

Biarpun kepahitan telah engkau rasakan
Tak pula kau merasa jemu
Mengasuh dan mendidik kami semua anakmu
Dari kecil hingga dewasa

Hidupmu kau korbankan
Biarpun dirimu yang telah terkorban
Tak dapat kubalasi akan semua ini
Semoga Tuhan memberkati kehidupanmu ibu

Ibu kau ampunilah dosaku
Andainya pernah menghiris hatimu
Restumu yang amatlah aku harapkan
Kerana disitu letak syurgaku

Tabahnya melayani kenakalan anakmu
Mengajarku erti kesabaran
Kau bagai pelita di kala aku kegelapan
Menyuluh jalan kehidupan

Kasihanilah Tuhan
ibu yang telah melahirkan diriku
Bagaikan kasih ibu sewaktu kecilku
Moga bahgia ibu di dunia dan di akhirat sana

Kasih sayangmu sungguh bernilai
Itulah harta yang engkau berikan
Ibu... dengarlah rintih hatiku
Untukmu Ibu

Wednesday, May 06, 2009

Corat Coret


Setelah sekian lama sesawang ini dibiarkan sepi. Akhirnya tercoret sedikit kalam sebagai pengisi.

Sekapur Sirih Ros

Selaut syukur dan pujian dipanjatkan kehadrat Allah SWT atas segala nikmat kurniaan-Nya. Nikmat islam dan iman yang masih utuh dalam diri. Nikmat kehidupan dunia yang tidak terhitung banyaknya. Berbanding ekspresi syukur yang boleh dihitung kira. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kaum keluarga, dan sahabat-sahabat baginda yang mulia.

Alhamdulillah. 4 tahun aku berkelana di bumi orang. Bumi Al-Azhar, bumi Kinanah, bumi anbiya'i wal fara'inah. Bumi Tanah tumpahnya darah para anbiya' 'alaihimussalam, para aulia' dan solihin. Kiblat ilmu kepada pencinta-pencinta ilmu Allah SWT. Melahirkan para ulama' muktabar, para mujtahidin dan mujahidin, menjadi sang murabbi dan qudwah kepada umat manusia. Bermujahadah dalam memastikan Islam diletakkan ditempat yang tertinggi. Disini jugalah terakamnya peristiwa hitam, kederhakaan Fir'aun laknatullahi 'alaih yang menjadi ajen penyesatan terhadap umat suatu ketika. Mendustakan risalah kenabian dan tauhid. Ya! Di bumi inilah aku berpijak selama sekian lama. Duduk mencari birai2 mutiara.

Setengah dekad ini mematangkan aku. Bergaul dengan ilmuan, para otai yang berilmu dan berpengalaman. Berintima' dengan persatuan. Balajar pentadbiran. Belajar kemahiran. Bermasyarakat dengan berbagai bangsa. Berkomunikasi dengan manusia. Terasa cepat masa itu berlalu. Meskipun begitu terlalu kerdil aku dihitung dengan waktu. Teman2 sudah ke puncak gunung aku masih mendaki bukit. Segala puji bagi Allah yang masih memberi aku kekuatan untuk terus berdiri. Memberi maksud tujuanku masih lagi belum lestari.

Intima'

Hampir 3 tahun aku berada dalam dunia kepimpinan. Memimpin sekelompok kecil masyarakat mahasiswa Islam diperantauan. Harungi suka duka jerih payah. Demi satu wadah dan perjuangan. Ya! demi wadah dan perjuangan. Bukanlah aku yang terbaik dikalangan kamu. Tetapi amanah qiadah ini perlukan kesinambungan dan berterusan. Demi memastikan dasar: Al-Qur'an dan sunnah dapat dilaksanakan.

Berkata Saidina Abu Bakar As-Siddiq setelah dilantik menjadi Khalifah yang pertama: "Wahai manusia! Sesungguhnya aku telah dipilih menjadi ketua kamu dan bukanlah aku orang yang paling baik di kalangan kamu, jika aku baik maka bantulah aku, jika aku tersilap maka perbetulkanlah aku". Begitu juga dengan ucapan Saidina Omar bin al-Khattab, Khalifah yang kedua: "Siapa yang melihat berlakunya kepadaku penyelewengan maka perbetulkanlah aku."

Firman Allah SWT:

"Tidaklah sama antara mukmin yang duduk [ Qaai'dun ] (yang tidak ikut berjuang) tanpa mempunyai ke'uzuran dengan orang-orang yang berjihad [ mujaahidun ] di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk [ qaai'dun ] satu derajat. Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (surga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk dengan pahala yang besar ".

Sahabat2 yang aku kasihi,

Kepimpinan ini adalah amanah. Bahkan akan dipersoal oleh Allah di akhirat kelak. Bukanlah sengaja aku pikulkan di pundakku. Tiada hadaf maddiyyah atau kepentingan peribadi. Hanya kesedaran dari dalam diri. Itupun ini masih ada yang meragui?

Nyatanya kita semua adalah khalifah. Kau dan aku adalah khalifah. Telah Allah rakamkan watikah itu dalam muhkami tanzil-Nya: "Ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: Sesungguhnya aku akan jadikan di muka bumi seorang khalifah". Mentadbir alam dengan akta rabbaniyyah yang disampaikan melalui junjungan mulia Muhammad SAW.

Malanglah kalau kamu tidak bersama aku. Bersama membentuk khilafah yang terasnya taqwa kepada Allah. Menjadi mata rantai yang menentukan jatuh bangun perjuangan li i'laai kalimatillah. Hei… kita bukan awalan atau akhiran lah. Apa kau tunggu lagi? Bertatihlah! kelak kau berlari. Jangan kau tersungkur sebelum berdiri.

Hehe… Bermadah aku harini. Biasalah sudah lama menyepi diri. Pedulilah ape korang nak kata. Janji aku happy.


Tahun ini terasa ujian dan cabaran bagai bah melanda. Jauh aku terpukul dek kerenah manusiawi. Tidak! Itu mehnah.

Mungkin juga kaffarah buat diri. Yang pasti ujian ini membekas dan mematangkan. Sahabat… kau bantu.aku ya! Tanpamu aku tiada erti. Cheewah!… bermadah lagi.

Memang terasa berat beban ini kalau dipikul sendiri. Aku tidak sendiri. Aku kuat kerana aku bekerja dalam satu jamaah. Ya! Kerna jamaah. Kau dan aku satu jamaah. Aku imam dan kau makmum. Atau kau imam dan aku makmum. Tidak begitu? Kita satu!

Sahabat… Anggaplah persatuan ini satu wadah, satu daulah, satu mini khilafah islamiyyah. Bahkan lebih kecil. Yang perlu untuk sama-sama kita tadbir dan berikan intima'. Agar akhirnya kita keluar dengan bekalan menuju ke medan sebenar perjuangan. Yang pastinya menjanjikan 1001 mehnah dan cabaran. Disinilah medan tarbiah kita.

Doa buat ibu

Ibu saat ini menanti kepulangan aku. Melepaskan beban rindu tatkala membisikkan sendu dan tawa. Merentasi setelit dua benua. Hanya bait2 ini mampu aku nukilkan untuk melagukan gelora dijiwa…

Disaat kita berjauhan

Rasa ingin ku berlari

Mendakapimu penuh girang

Bak si kecik kehilangan

.

kau insan penyayang

betapa ku merindu

Lembutnya belaian ibu

Membuat ku terlena

…Kalaulah ada bas tambang dari cairo ke JB. Ya Rabbi… hanya kau sahaja mengerti.

Berita ibu sakit menyakitkan. Tatkala disibukkan dengan taklifan. Tatkala hampir dengan imtihan. Bagaimana harus aku hadapi. Hanya mampu aku menadah tangan Mudah-mudahan Allah SWT sihatkan tubuh badannya dan panjangkan usianya. Agar mudah dia tunaikan ibadah dan kewajipan. Kepada Allah sahajalah tempat aku bermohon dan kepada-Nya lah aku berserah diri. Firman Allah SWT: "…Berdoalah kepada-Ku nescaya akan Aku perkenankan bagimu." (Al-Mukmin: 60). Amin

Kahwin

Firman Allah SWT: "…dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan bagimu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan diantara kamu perasaan kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir" (Ar-Rum: 21).

Aku kahwin? Jangan salah mengerti. Tajuk ini ditujukan khas buat kembarku yang dirindui. Dah gatal nak kahwin yer? Almaklumlah dah ada yang mencuri hati. Baguslah!.lestarikan fitrah insani melalui jalan yang syar'ie. Moga Allah permudahkan segala urusanmu dan jauhi dirimu dari kesulitan. Moga2 mahligai yang bakal dibina terpelihara dibawah naungan rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Melahirkan generasi yang bakal menjadi tonggak perjuangan kearah memartabatkan Agama Allah SWT kelak. InsyaAllah.

Tinggallah nanti adindamu ini sendiri bila kau sudah berteman sejati. InsyaAllah aku berjumpa jua suatu ketika. Nantikan ya.

Sekian sahajalah coretan kali ini. Moga yang sedikit ini memberi manfaat buat semua. Doakan aku dan semua sahabat2 kita yang menuntut di bumi Mesir ya! Agar mudah menghadapi imtihan, dikurniakan Allah kejayaan dan kecemerlangan. Moga2 usaha dan tawakkal kami ini berbuahkan segugus manisan. Amin.